Messed Up Review #001 - Bukan Dari Jibril oleh Fikri Harun

07 October 2012

Baru-baru ini aku telah mendapat satu peluang untuk membaca senaskhah buku hasil koleksi catatan seorang penulis yang bertajuk “Bukan Dari Jibril” oleh Fikri Harun hasil terbitan Buku Hitam Press. Hasil daripada pembacaan aku, aku dapat selami dan alami minda dan pemikiran penulis ini sendiri. Daripada apa yang aku dapat sarankan, bukalah minda kamu seluas-luasnya sebelum membaca koleksi catatan penulis buku ini. Aku tidak memaksa, tapi jika hati dan minda kita terbuka, tidak mustahil untuk kita meraih permata dari dasar lautan yang tercemar.

Buku “Bukan Dari Jibril” ini banyak menyentuh isu-isu sosial, politik, agama dan seks. Mungkin banyak pembaca-pembaca ‘mainstream’ yang mungkin tidak akan dapat menerima gaya pembacaan sebegini yang berbeza daripada buku-buku yang mudah didapati di pasaran. Yalah, selalu kita akan lebih tertarik dengan buku-buku yang berlandaskan fiksyen bercorak cinta, fantasi, thriller, horror dan sebagainya. Bezanya buku ini, kita seakan dibawa merentasi lautan minda si penulis daripada penulisannya yang unik, provokatif, sensitif dan mungkin sedikit ‘kasar’. Tidak ada cerita, tapi yang pasti ada moralnya.

Catatan-catatan yang terilhamkan dari tandas mungkin pada mulanya akan menarik kita untuk menyimpulkan buku ini sebagai sesuatu yang kotor, tidak menyelerakan, ataupun secara ringkasnya tidak menarik. Aku juga begitu pada mulanya. Tetapi kerana pegangan diri aku sendiri mengingatkan aku bahawa tak semua yang cantik itu baik, dan tak semua yang buruk itu jahat, aku gagahkan diri aku untuk terus membaca buku yang ibarat lautan tercemar ini dengan niat untuk memperoleh permata yang indah. Ternyata di akhir pembacaan aku, aku dapat rasakan cetusan kebenaran yang terlintas di minda aku hasil pembacaan tulisan si penulis.

Ada kemungkinan sesiapa yang membaca buku ini mampu menerima idea penulis, dan besar kemungkinan orang biasa yang terikat dengan genre-genre ‘mainstream’ dan penulisan terkawal tidak akan dapat menerima idea yang cuba dibentangkan oleh penulis. Bagi aku semua orang boleh peroleh sesuatu dari buku ini, tapi suka aku ingatkan di sini, minda kamu semua mestilah terbuka dan bebas dari prejudis, bebas dari pemikiran judgmental dan bebas dari kekolotan. Kalau masih tidak dapat terima walaupun sedikit, aku tidak paksa untuk kamu teruskan bacaan kamu.

Naskhah yang unik ini aku sarankan untuk pembaca yang gemar mencari sesuatu yang baru. Ataupun pembaca yang sudah bosan dengan siri bacaan ‘mainstream’ yang mudah diperoleh di luar. Selepas kamu habis membaca buku ini, tanyalah diri kamu sendiri soalan ini: Adakah yang kelihatan buruk zahirnya itu buruk juga batinnya?

Oh, sebelum aku terlupa. Buku ini hanya sesuai untuk pembaca matang.

Salam,
Matsuo

No comments:

Post a Comment